Wednesday, October 04, 2006

BUBUR PEDAS-Juadah Tradisional Melayu Sarawak


Bubur pedas dan masyarakat Melayu
Oleh Wartawan Budaya, (Utusan Sarawak, Khamis 28 September 2006)


Kelahiran buku Bubur Pedas: Juadah Tradisional Melayu Sarawak tulisan Dr. Kamil Salem mempunyai signifikannya yang tersendiri kerana buku ini terbit tepat ketika umat Islam menyambut Ramadan al-mubarak – sesuai dengan bulan bubur pedas diangkat tinggi nilainya dalam kehidupan masyarakat Melayu.

Buku setebal 53 halaman ini menggambarkan secara terperinci walaupun ditulis dalam jumlah halaman yang ringkas, bermula dengan sejarah bubur pedas.

Mengikut kajian Dr. Kamil, bubur pedas berasal dari Sambas, Kalimantan. Dalam tulisan yang sama beliau memberi fakta perbezaan antara bubur pedas Sarawak dengan bubur pedas Indonesia itu.

Perkara yang tentunya mampu menarik perhatian pembaca ialah Dr. Kamil berjaya menulis secara terperinci tentang perbezaan cara memasak, cara makan bubur pedas zaman dahulu berbanding zaman kini.

Dr. Kamil menjalankan temu ramah dengan golongan tua yang pakar memasak bubur pedas, mencari dan menyemak kelainan resipi dan bahan ramuan setiap tukang masak termasuk dalam menghasilkan bumbu makanan popular Ramadan ini.

Selain berjaya menulis bubur pedas sebagai makanan, Dr. Kamil memperlihatkan kaitan makanan dengan budaya masyarakat, lebih-lebih lagi jika dikaitkan dengan zaman silam.

“Sekarang kehidupan orang Melayu sudah jauh berubah sesuai dengan peredaran zaman, baik di bandar mahupun di luar bandar. Di bandar, jarang sekali melihat keluarga Melayu makan bersama di atas tikar mengkuang dengan duduk bersila…

Tulis Dr. Kamil lagi “Betapapun, keberkatan Ramadan tetap memberi hikmah tersendiri kerana waktu berbuka puasa pada sebelah petang dan bersahur pada subuhnya memberi kelebihan untuk ahli keluarga berkumpul bersama-sama menghadap hidangan dan menikmati bubur pedas sebagaimana datuk nenek merasai bubur pedas pada masa lampau. Nostalgia lama terungkap semula meskipun tanpa tikar mengkuang tanpa talam besi, tanpa lantai pohon pinang atau nibung dan tidak makan di dalam mangkuk seramik yang disenduk menggunakan senduk tempurung kelapa. Bubur pedas dan hikmah Ramadan berupaya mengembaliklan nostalgia silam.”

Selain memuatkan foto silam dan foto baru dalam warna-warni dengan teknik grafik yang menarik, buku ini turut memuatkan resipi cadangan memasak bubur pedas dan ia boleh dicuba sendiri oleh anak-anak muda yang ingin belajar memasak bubur pedas.

Bubur pedas bukan sekadar makanan, jika dikaji secara sosiologi, bubur pedas dapat menggambarkan tentang perkembangan sosioekonomi Melayu sebelum merdeka sehingga alaf baru ini. Ramuan yang terkandung di dalam juadah istimewa ini, teknik membuat termasuk menyediakan bumbu dapat menggambarkan taraf hidup, aktiviti sosial serta perkembangan pemikiran orang Melayu.

Harga buku senaskah RM 19.90

Boleh dibeli terus dari:
Nonakraf Communications Sdn. Bhd, 59 Taman Heng Guan Matang,
Kuching, Sarawak, Malaysia
Email- nonakrafsdnbhd@gmail.com atau kamilsalem@yahoo.com

BLOG PERSONAL SAYA